fb fb fb fb fb

Kekurangan pelajar lelaki, tindakan segera diperlukan

FOTO RTM

SINTOK, 10 November - Satu tindakan khusus perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah kekurangan kemasukan pelajar lelaki ke universiti atau pusat pengajian tinggi.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah langkah berkenaan penting dalam memastikan negara mencapai perwakilan yang lebih seimbang dalam sistem pendidikan.

Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bertitah, ia termasuklah institusi berkenaan yang memperlihatkan jurang yang amat ketara dimana 70 peratus daripada mahasiswa adalah daripada kalangan kaum wanita berbanding hanya 30 peratus kaum lelaki.

"Kepentingan pendidikan tinggi perlu ditekankan sejak di peringkat sekolah, dengan meningkatkan penglibatan akademik pelajar lelaki melalui bimbingan serta sokongan khusus, dan memupuk panduan yang inklusif daripada segi jantina.

"Ianya bagi memperluas pilihan bidang pengajian dan kerjaya. Langkah-langkah ini amat penting untuk mencapai perwakilan yang lebih seimbang dalam sistem pendidikan," katanya.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah demikian pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu'adzam Shah di sini.

Tambah Baginda, ilmu pengetahuan yang diperoleh di peringkat pengajian tinggi akan menjadi asas yang kukuh buat para graduan.

Namun, kemahiran yang dipupuk selepas ini akan menentukan nilai diri masing-masing.

Baginda turut mengingatkan bahawa kejayaan diperoleh bukan hanya diukur melalui hasil yang dicapai tetapi prinsip yang dipertahankan.

Dalam mempertahankan prinsip itu, para graduan perlu melakukan perkara yang benar walaupun tiada siapa yang memerhati dan itulah dinamakan integriti.

Baginda percaya ia akan menjadi aset paling berharga dalam hidup para graduan. 

Titah baginda lagi, dalam dunia yang penuh godaan untuk mengambil jalan mudah, dan tekanan yang boleh menggugat nilai diri, integriti yang akan menjadi landasan yang mengekalkan para graduan di jalan yang benar.

Justeru baginda menyeru para graduan menjadi insan yang boleh dipercayai rakan sekerja dan menjadi teladan kepada orang lain dalam hal kejujuran dan keadilan. 

Nama baik dan reputasi diri dibina sedikit demi sedikit mengambil masa bertahun-tahun untuk diasaskan, tetapi boleh tercalar hanya dalam sekelip mata.
 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM