fb fb fb fb fb

Yayasan Infaq Angkasa sumbang komputer riba kepada koperasi sekolah

KELANTAN, 5 Februari - Yayasan Infaq ANGKASA hari ini menyumbang sebuah komputer riba berharga RM4,500 kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Perdana Bachok Kelantan Berhad bagi kegunaan pengurusan dan operasi koperasi di sekolah ini.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah ANGKASA, Datuk Che Mohd Shukree, dalam tempoh sedekad sejak ditubuhkan pada 15 Ogos 2021, Infaq Lil-Waqf ANGKASA telah menerima sambutan menggalakkan daripada penyumbang dan lebih RM25 juta dana terkumpul telah berjaya dikutip daripada koperasi, anggota koperasi, pelanggan biro potongan ANGKASA termasuk sumbangan daripada ANGKASA setiap tahun.


(Majlis penyerahan disempurnakan oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah ANGKASA,
Datuk Che Mohd Shukree Che Isa kepada Pengetua SMK Dato’ Perdana, Encik Mohd Azman Mohamed)

“Atas pencapaian itu, pengurusan lebih profesional dan kompeten dikenali Yayasan Infaq ANGKASA telah dibentuk dan didaftarkan pada 9 Julai 2021 bagi memperluaskan fungsi dan peranan Infaq Lil-Waqf dalam menyalurkan dana untuk manfaat gerakan koperasi di Malaysia mahupun luar negara,” katanya.

Tambahnya, ANGKASA berjaya membuktikan jalinan kerjasama yang erat dengan Majlis Agama Islam mampu melestarikan aset wakaf dan sehingga kini telah berjaya mencapai kutipan RM10 juta di seluruh negara sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat melalui platform koperasi.

“Saya berharap dengan sumbangan yang disalurkan ini mampu memberi manfaat kepada koperasi khususnya para pelajar dan kakitangan sekolah ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengetua SMK Dato’ Perdana, Encik Mohd Azman Mohamed dalam ucapan aluannya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Infaq ANGKASA kerana sumbangan komputer riba ini akan menggalakkan lagi anggota koperasi yang terdiri daripada pelajar untuk membantu menyiapkan kertas-kertas kerja dan melancarkan proses membuat aktiviti koperasi.

Beliau juga menegaskan bahawa hasil keuntungan bersih koperasi sekolah ini pada tahun lepas melebih RM100,000 dan beliau yakin jumlah tersebut akan terus meningkat pada tahun ini.

Pihak sekolah juga turut meluangkan masa mendengar taklimat Yayasan Infaq Angkasa selepas majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 68 orang guru sekolah. Mereka juga merebut peluang untuk berwakaf dengan kutipan terkumpul tunai sebanyak RM750 dan sumbangan potongan gaji setiap bulan sebanyak RM1,080 daripada semua guru.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPAN) Kelantan, Encik Wan Mohamad Zain Wan Abdullah dan Pengurus Yayasan Infaq ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman.

Media Baharu