fb fb fb fb fb

KPDN ambil serius isu kenaikan harga sayur demi kesejahteraan pengguna

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 5 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius isu kenaikan harga barangan terutamanya rungutan orang ramai berkenaan kenaikan harga sayur seperti yang dilaporkan oleh pihak media arus perdana dan di laman sosial.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam dalam kenyataannya, kementerian sentiasa prihatin dan berusaha menangani isu-isu ini melalui tindakan-tindakan proaktif dan penguatkuasaan.


(Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),
Datuk Azman Adam
/ Foto Bernama)

"Seramai 2,200 Pegawai Penguatkuasa telah digerakkan setiap hari bagi melaksanakan pemeriksaaan harga di premis-premis seluruh negara termasuk premis yang menjual sayur-sayuran merangkumi pasar awam, kedai runcit, pasar raya-pasar raya serta premis-premis lain di bandar mahupun luar bandar.

"Pemeriksaan dan pemantauan yang dilaksanakan turut mengambil kira elemen-elemen penguatkuasaan yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Ops Pasar," katanya.

Ops Pasar ini telah difokuskan bagi menangani kenaikan harga sayuran dari sasaran sebelum ini ke atas barang keperluan perayaan.

Bagi pelaksanaan Ops Pasar, sebanyak 296 jenis barangan telah diperiksa bagi tujuan siasatan antipencatutan. Daripada jumlah barangan terbabit, sebanyak 60 notis telah dikeluarkan bagi tujuan analisis dan siasatan kenaikan harga.

Hasil pemeriksaan awal mendapati peningkatan harga sayuran ini antara lain disumbang oleh faktor kekurangan bekalan kesan daripada musim monsun.

Peningkatan kos-kos input seperti baja, benih dan racun serta harga di negara pengeluar bagi barang yang diimport terus dari negara luar juga turut memberi impak kepada harga di pasaran tempatan.

Selain itu, peningkatan harga tersebut sedikit sebanyak turut dipengaruhi oleh kadar pertukaran mata wang, kos perkapalan dan sebagainya.

"Kementerian melaksana serta menguatkuasa kawalan harga ke atas barangan asas tertentu yang menjadi keperluan pengguna. Harga barangan lain ditentukan oleh pasaran melalui faktor penawaran dan permintaan.

"Walau bagaimanapun, tindakan perundangan boleh diambil ke atas barangan lain di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya mana-mana pihak didapati cuba mengaut keuntungan secara berlebihan.

"Pihak Kementerian juga sentiasa melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pihak peniaga bagi memastikan bekalan sedia ada sentiasa mencukupi," katanya.

Tambahnya, Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan.

Mana-mana pihak yang didapati melanggar perundangan berkaitan akan dikenakan tindakan yang tegas.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh melaporkan kepada pihak KPDN bersama butiran aduan yang lengkap melalui saluran berikut, WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my , pusat panggilan 1-800-886-800, emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN dan hubungi bilik gerakan penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.




Media Baharu