fb fb fb fb fb

YaPIEM salur sumbangan RM350,000 ke Palestin

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) salur bantuan sumbangan berjumlah RM350,000 bagi rakyat Palestin menerusi Tabung Palestin Musa’adah JAKIM-YWM/FOTO YAPIEM

KUALA LUMPUR, 28 November -  Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan bantuan sumbangan berjumlah RM350,000 dalam usaha menyantuni masyarakat di Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan itu akan disalur menerusi Tabung Palestin Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

"Semoga sumbangan berjumlah RM350,000 ini akan dapat membantu meringankan segala kesengsaraan, meringankan kesukaran kehidupan penduduk-penduduk Palestin khususnya di Gaza, jadi kita masih lagi menerima sumbangan daripada agensi-agensi dan juga daripada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan YaPIEM dan juga mesyuarat pasca kabinet yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya, sumbangan sebanyak RM300,000 dari Tabung Amanah YaPEIM, manakala RM50,000 pula daripada kutipan dalam kalangan kakitangan YaPEIM, Kelab Sukan YaPEIM (KeSSKY) dan cawangan-cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara.

Selain itu, Datuk Naim turut mengajak orang ramai menyumbang ke Tabung Musaadah JAKIM-YWM membantu dalam membina semula kehidupan masyarakat di Palestin.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk hanya menyumbang kepada Tabung Musaadah JAKIM-YWM atau akaun amanah Wisma Putra bagi mengelakkan unsur penipuan.

GRACE AISYAH KEDAYAN