KUANTAN, 2 Ogos- Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park di Kuantan, Pahang.
Turut mengiringi keberangkatan baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka Baginda dalam titah ucapannya menjelaskan, pusat berkenaan antara inisiatif kemajuan sektor kesihatan dalam negara yang mampu memberi peluang kepada rakyat menerima kehidupan yang lebih baik.
"WQ Park ialah penyediaan perkhidmatan pemulihan terkemuka di Malaysia dan adalah aset amat berharga kepada rakyat Malaysia dan rakyat Pahang. Insya-Allah saya yakin WQ Park akan terus melakukan perubahan dalam kehidupan rakyat Malaysia yang memerlukan rawatanpemulihan dan rehabilitasi..” titah Al Sultan Abdullah.
Baginda yang tiba kira-kira jam 11.00 pagi disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan exco kerajaan negeri.
Baginda berdua sempat meluangkan masa melawat beberapa kemudahan yang disediakan di pusat berkenaan selain menyantuni pesakit yang sedang menerima rawatan.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park, Datuk Sri Dr Zulkharnain Ismail yang ditemui berkata, WQ Park merupakan pusat sehenti pertama bagi pemulihan fizikal dan mental di Malaysia.
Manakala WQ Park Kuantan adalah yang kelima selepas WQ Park Kelana Jaya, Bangi, Sentul dan Johor Bharu.
"Kita mahu meningkatkan mutu kesihatan terutamanya dari sudut pemulihan. Di Malaysia ini memang kekurangan sebab itu saya menubuhkan WQ Park untuk bersama-sama dengan kementerian (KKM) untuk sama-sama meningkatkan mutu kesihatan," kata Zulkharnain.
Bantuan berbentuk prasarana khas “WQSensesPark” turut disampaikan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Sungai Talam, Indera Mahkota dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Nilam, Balok.
WQ Park merupakan pusat pemulihan yang menyediakan rawatan komprehensif untuk pesakit daripada semua peringkat umur dengan tumpuan utama ke arah meningkatkan kualiti hidup pesakit terutama golongan orang kurang upaya.
(Yang di-Pertuan Agong berkenan rasmikan WQ Park Kuantan)