(Cicak 'Cyrtodactylus zebraicus')
KANGAR, 2 Ogos- Sepasukan saintis yang menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis menemukan labah-labah daripada spesies 'tribes spider' dan cicak 'Cyrtodactylus zebraicus' di Hutan Simpan Negeri Perlis.
Ketua penyelidik ekspedisi itu, Profesor Madya Dr Amirrudin Ahmad berkata, labah-labah berkenaan merupakan spesies endemik dan hanya terdapat di Perlis.
Spesies cicak berkenaan juga hanya terdapat di Perlis dan dipercayai berasal dari Thailand yang masuk ke Malaysia menerusi Banjaran Nakawan bersempadan dengan Thailand.
"Setakat ini, ia adalah spesies baru yang terdapat di tempat itu sahaja, memang endemik dan hanya ditemui di Malaysia khususnya Perlis.
"Nama saintifik belum diberi, dan kita dalam proses memberi nama," katanya kepada pemberita pada Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis di sini.
Seminar berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang.
Ekspedisi itu dijalankan pada 17 hingga 20 Oktober tahun lalu.
(Labah-labah 'tribes spider')