(Abdul Hakim selepas melancarkan “Kempen 1 Bulan 1 Wakaf” )
KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen “1 Bulan 1 Wakaf” bagi mengumpul dana menampung kos perbelanjaan pembangunan dan pembinaan semula surau dan madrasah di Wilayah Persekutuan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman, sebanyak RM33.4 juta diperlukan bagi proses menaik taraf lima buah surau dan madrasah yang uzur dan berisiko untuk menampung para jemaah dalam satu-satu masa.
"Kempen 1 bulan 1 wakaf ini sebenarnya kita akan ambil satu bulan, kita akan tumpukan kepada 1 projek pembangunan wakaf. Dan kita pilih lima surau yang kita akan buat penambahbaikan sama ada menyediakan, membesarkan ruang solat ataupun menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan.
"Banyak perancangan yang kita sedang lakukan dan insya-Allah kita percaya dengan perancangan yang kita lakukan ini akan menambah baik nilai kutipan wakaf yang patutnya bercambah dengan baik di Wilayah Persekutuan," kata Abdul Hakim selepas melancarkan “Kempen 1 Bulan 1 Wakaf” di sini.
Kempen yang bermula Ogos hingga Disember ini merupakan kempen wakaf yang julung kali diadakan oleh PPZ-MAIWP bagi tujuan menaik taraf surau dan madrasah yang terpilih.
Tambah beliau, antara kemudahan yang akan dinaik taraf ialah bangunan tambahan bagi ruang solat lelaki dan perempuan yang boleh menampung sehingga 3,000 jemaah, bangunan kelas KAFA dan bilik pengurusan jenazah.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui pembayaran dalam talian, potongan gaji atau terus ke kaunter PPZ-MAIWP yang berdekatan.
(Abdul Hakim berkata sebanyak RM33.4 juta diperlukan bagi proses menaik taraf lima buah surau
dan madrasah yang uzur dan berisiko untuk menampung para jemaah dalam satu-satu masa)