KUALA LUMPUR, 11 Mac- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong agar pakaian yang bercirikan kesopanan dapat diangkat menjadi sebahagian daripada kod etika berpakaian.
Ini susulan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengenakan selendang semasa bermesyuarat di Universiti Monash, bersempena lawatan delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melbourne, Australia, Isnin lalu.
Menurut YADIM, pihaknya memuji dan mengucapkan tahniah kepada Hannah yang jelas cakna akan situasi semasa dengan memakai selendang semasa menyertai delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat Al-Taqwa College di Melbourne.
"YADIM menyanjung sikap hormat Hannah dalam memenuhi permintaan rakan-rakan Muslim untuk memakai selendang dan sikap itu perlu dicontohi memandangkan ia adalah satu toleransi atas dasar semangat menghormati tanpa membelakangkan fahaman dan kepercayaan agama masing-masing.
"Pakaian tersebut tidak menggambarkan simbol keagamaan tetapi melambangkan kesopanan dan tertib serta hormat sesuatu majlis yang merupakan cerminan ketinggian keperibadian insan rakyat Malaysia.
"YADIM juga berharap agar pada masa hadapan masyarakat Malaysia akan lebih jelas di antara keperluan menjaga hubungan dan hormat dengan kepercayaan serta pegangan agama masing-masing," menurut kenyataan itu.