fb fb fb fb fb

Pembangunan bandar mampan, tonggak utama Malaysia kekal berdaya saing

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof (dua dari kiri) dalam majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan di Putrajaya /RTM

PUTRAJAYA, 28 Oktober- Pembangunan bandar mampan dan pintar menjadi antara tonggak utama dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global serta memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan kejayaan Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking 2025 ke kedudukan ke-23 dunia mencerminkan keberhasilan dasar ekonomi dan perancangan bandar yang tersusun bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Lonjakan ini membuktikan keupayaan Malaysia memperkukuh daya saing dan daya tahan ekonomi, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033,” katanya.

Datuk Seri Fadillah turut menyatakan Malaysia kini diiktiraf sebagai antara negara paling aman di dunia apabila berada di tangga ke-13 Global Peace Index 2025, selain peningkatan kedudukan Kuala Lumpur dalam Smart Cities Index 2025 ke tempat ke-65 pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Beliau dalam masa sama mengiktiraf sumbangan perancang bandar dan pengurus bandar yang disifatkan sebagai pemacu perubahan sebenar dalam pembangunan negara.

“Dengan tema Pembaharuan semula bandar agenda perancangan untuk rakyat, kita menegaskan semula bahawa setiap usaha perancangan banda mesti memberi manfaat secara langsung kepada rakyat ” ujarnya semasa merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan, Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) dan MyCity EXPO 2025 di Putrajaya hari ini.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Malaysia Urban Planning Award (MUPA) 2025 termasuk Anugerah Perdana Bandar Mampan MADANI, Penarafan Smart City Malaysia dan Anugerah Amalan Perancangan Terbaik sebagai pengiktirafan kepada pihak berkuasa tempatan dan profesional perancang bandar.

Acara berprestij itu dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) dengan Perbadanan Putrajaya sebagai tuan rumah.

SITI NOORAIN ABDULLAH