KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM4.32 bilion untuk melaksanakan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) secara berperingkat di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan pelaksanaan projek RTB menjadi antara strategi utama kementerian dalam usaha mengurangkan risiko banjir.
"Pecahan anggaran kos perbelanjaan bagi tempoh tersebut adalah RM541 juta tahun 2021, RM688 juta 2022, RM526 juta 2023, RM1.19 bilion 2024 dan RM1.39 bilion 2025,” katanya di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, kerajaan turut memperuntukkan RM948.1 juta bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi pelaksanaan 15 projek RTB di Sabah.
“Setakat ini, empat projek telah siap, dua projek dalam fasa pra pelaksanaan dan sembilan sedang dilaksanakan. Pelaksanaan projek-projek ini telah mengurangkan kawasan hotspot di Sabah dari 798 kepada 517 lokasi sekaligus menunjukkan keberkesanan mitigasi banjir yang dilaksanakan.” ujar beliau ketika menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berhubung jumlah peruntukan dibelanjakan kerajaan untuk projek RTB bagi tempoh lima tahun khususnya di Sabah serta keberkesanan inisiatif struktur dan bukan struktur mengurangkan kesan dan kejadian banjir.
Selain itu, bagi pendekatan bukan struktur pula Akmal memaklumkan PETRA ketika ini melaksanakan kajian pelan induk RTB untuk merangka dasar dan strategi pelaksanaan pembangunan bagi menangani impak banjir dengan lebih berkesan.