fb fb fb fb fb

'Semalam Trump, hari ini China': PM tekankan prinsip sentraliti ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Premier China, Li Qiang pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 di Kuala Lumpur, hari ini/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - ASEAN menegaskan semula peranannya dalam mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa-kuasa besar dunia, sekali gus mencerminkan kedudukan pusat blok itu dalam diplomasi serantau serta keupayaannya menjalin hubungan baik dengan semua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 hari ini berkata, komitmen kukuh ASEAN terhadap pendirian geopolitik berteraskan prinsip sentraliti terserlah melalui hubungan konstruktif blok berkenaan dengan Amerika Syarikat dan China.

“Sekali lagi hari ini mencerminkan komitmen China yang teguh dan tidak berbelah bahagi untuk memperdalam hubungan dengan ASEAN.

"Jika ada yang ingin tahu, sehari sebelum ini kami bersama Presiden Donald Trump dari Amerika Syarikat dan hari ini kami kembali bersama China. Ini menggambarkan kedudukan pusat ASEAN atau ASEAN centrality, dan saya memuji rakan-rakan ASEAN atas kebijaksanaan mengekalkan prinsip tersebut serta terus menjalin hubungan mesra dengan semua pihak,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan sidang kemuncak itu di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Pengerusi ASEAN turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri China, Li Qiang atas komitmen kukuh negaranya dalam memperdalam hubungan dengan ASEAN.

Sidang kemuncak kali ini juga mencatat sejarah apabila Timor-Leste menyertai buat julung kali sebagai anggota baharu ASEAN, menjadikan jumlah keanggotaan kini 11 negara.

“Kini kita telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA 3.0) yang menandakan satu langkah penting dalam kerjasama ekonomi kita. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya di ASEAN dan China atas kejayaan luar biasa ini dalam konteks perjanjian perdagangan bebas pertama antara ASEAN dan China,” katanya.

Terdahulu, Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bersama Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Perdana Menteri China, Li Qiang.

Penandatanganan protokol itu melambangkan komitmen bersama ASEAN dan China dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serta memperluas akses pasaran, pelaburan dan rantaian bekalan serantau di bawah versi baharu ACFTA 3.0.

GRACE AISYAH KEDAYAN