fb fb fb fb fb

ASEAN, China meterai ACFTA 3.0 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Protokol naik taraf perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – ASEAN dan China hari ini menandatangani Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0), sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan ekonomi dua hala yang telah terjalin lebih dua dekad.

Protokol naik taraf perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Premier China, Li Qiang.

Turut hadir ketua-ketua kerajaan ASEAN dan Republik Rakyat China, Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN-China, serta Setiausaha Agung ASEAN.

Penandatanganan protokol baharu ini mencerminkan komitmen bersama ASEAN dan China untuk memperkukuh integrasi serantau selain memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau Asia Tenggara.

Naik taraf ACFTA 3.0 turut memperluas kerjasama ke bidang baharu termasuk ekonomi digital dan hijau, ketahanan rantaian bekalan, persaingan dan perlindungan pengguna, serta sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata inisiatif itu penting dalam usaha menyelaras serta memperkemas urusan perdagangan dan pelaburan antara negara anggota ASEAN dengan China, yang kini merupakan rakan dagang terbesar blok berkenaan.

“Penambahbaikan perjanjian ini akan membuka lebih banyak peluang baharu dan memberi manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada negara anggota ASEAN,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

ACFTA yang dimeterai pada 2004 merupakan perjanjian perdagangan bebas pertama ASEAN dengan rakan luar, dan juga perjanjian seumpamanya yang pertama bagi China.

Versi 3.0 ini dijangka memperkukuh peranan kedua-dua pihak dalam memperluas akses pasaran, memudahkan pelaburan serta memperkukuh hubungan rantaian bekalan serantau.

Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini menghimpunkan pemimpin tertinggi serantau bagi membincangkan hala tuju kerjasama strategik ekonomi, keselamatan dan pembangunan mampan di rantau ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN