JOHOR BAHRU, 28 Oktober- Johor dan Singapura terus membuka lembaran baharu ke arah pembangunan ekonomi serantau yang lebih dinamik dan berdaya saing sekali gus menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan strategik rantau ini.
Menerusi kerangka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kedua-dua wilayah diyakini mampu mempercepat kelulusan pelaburan, mengurangkan halangan perdagangan serta memperluas akses pasaran global.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyelarasan kekuatan dua ekonomi berjiran itu akan melahirkan ekosistem pelaburan yang saling melengkapi dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Beliau menegaskan, Johor amat menghargai komitmen dan keterbukaan Singapura dalam memperkukuh kerjasama strategik, sekali gus membuktikan kejayaan ekonomi bukan berasaskan persaingan, tetapi sinergi dan kepercayaan bersama.
Pertemuan bersama Menteri Pembangunan Negara Republik Singapura, Chee Hong Tat, dan delegasinya di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana Johor Bahru, semalam, mencerminkan hubungan erat dan saling menghormati antara kedua-dua pihak.