fb fb fb fb fb

YADIM peruntuk RM10,000 bantu penduduk terjejas banjir di Terengganu

TERENGGANU, 12 Disember - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu memperuntukkan RM10,000 bagi meringankan penduduk terjejas banjir di negeri ini.

Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidi berkata bantuan merangkumi kit bantuan makanan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

Nasrul Hadi berkata, pihaknya turut mengaktifkan seramai 300 sukarelawan bagi membantu mengagihkan bantuan dan menganjurkan pelbagai aktiviti kepada penduduk terjejas.

"Setakat ini, kita menyerahkan kit bantuan makanan di PPS SK Chendering dan SK Atas Tol di Kuala Terengganu serta SK Tok Jembal, Kuala Nerus.

"Pihak kami juga menyediakan unit 'mobile' pacuan empat roda serta pasukan memasak sekiranya keadaan memerlukan di PPS," katanya selepas menyampaikan sumbangan YADIM kepada penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas di sini, hari ini.

Katanya, tahun lalu pihaknya membelanjakan lebih RM20,000 kepada mangsa banjir dan peruntukan akan ditambah bergantung kepada keperluan.

"Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan khidmat sukarelawan dan harap program yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada mangsa yang terkesan dengan banjir," katanya.

Media Baharu