PUTRAJAYA, 12 November - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan Konvensyen Pengajian Islam IPT Antarabangsa 2025 pada 13 November di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, di Bangi, Selangor.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, konvensyen julung kali itu menghimpunkan ilmuwan, penggubal dasar dan mahasiswa dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh hala tuju Pengajian Islam berteraskan ilmu, akhlak dan profesionalisme dalam mendepani cabaran semasa termasuk kecerdasan buatan (AI).
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar akan menyampaikan ucap utama bertajuk “Warisan Ilmu Turath dalam Era Digital.”
Bertemakan “Pengajian Islam dan Peradaban Madani: Integrasi Ilmu dan Tindakan Sosial,” konvensyen menonjolkan peranan Malaysia sebagai peneraju wacana ilmu Islam moden berpaksikan nilai syariah.
Antara pengisian utama, ialah Dialog Eksklusif bersama Menteri @ UKM dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk “Usia Menjulang Bakti,” yang akan disiarkan secara langsung di TV1 RTM dan media sosial rasmi JAKIM.
Konvensyen ini diharap menjadi platform penting melahirkan generasi Muslim berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selaras aspirasi Malaysia MADANI.