KUALA LUMPUR, 12 November - Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang menghormati prinsip pemberian khas berasaskan 40 peratus hasil seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap isu tersebut adalah langkah yang tepat dan selaras dengan semangat federalisme, selain menghormati hak rakyat Sabah yang telah dijamin sejak sekian lama.
“BN turut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi memastikan pelaksanaan Pemberian Khas ini dapat direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa BN sejak awal sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah dengan mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan perlembagaan, selain memastikan setiap komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap negeri itu dilaksanakan secara adil dan berakauntabiliti.
“BN akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah dan juga mana-mana negeri lain mengikut kerangka perundangan serta semangat Perlembagaan, demi memastikan Malaysia kekal stabil, makmur dan inklusif,” katanya.