fb fb fb fb fb

Malaysia-Rusia perkukuh kerjasama strategik pendidikan tinggi, saintifik

Foto Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi

LANGKAWI, 12 November - Malaysia dan Rusia terus memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi, sains dan teknologi dan pertukaran budaya menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknologi dan Budaya (JC-ESTC) kali ke-4 yang melabuhkan tirainya semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov itu, berlangsung dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), iaitu pada 10 dan 11 November.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, bahawa kerjasama pendidikan berkenaan tidak hanya dipacu melalui dokumen dan perjanjian, sebaliknya turut bertunjangkan pemahaman budaya serta hubungan interpersonal yang kukuh.

Menyaksikan mesyuarat JC-ESTC itu mencapai beberapa hasil utama termasuk pemansuhan sebahagian keperluan visa dan usaha menyambung penerbangan terus antara Malaysia-Rusia, serta 40 biasiswa tahunan daripada kerajaan Rusia kepada pelajar Malaysia.

Turut dicapai, ialah kerjasama tenaga dan nuklear secara aman, serta penerokaan bidang tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa lestari serta diversifikasi perdagangan serta pelaburan dalam sektor aeroangkasa, industri halal dan teknologi hijau.

KPT dalam kenyataannya juga menyebut, Mesyuarat JC-ESTC seterusnya yang kelima telah dipersetujui untuk diadakan di Moscow pada tahun hadapan, dengan harapan agenda baharu dapat diterokai bersama.

“Malaysia menantikan penganjuran mesyuarat ke-5 di Rusia pada 2026 untuk memperkukuh momentum yang dicapai di Langkawi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Datuk Seri Dr Zambry dalam kenyataan sama berkata mesyuarat tersebut menandakan kemajuan ketara dalam memperkukuh hubungan dua hala berasaskan persahabatan jangka panjang, saling menghormati dan aspirasi bersama.

“Hubungan yang terjalin melalui interaksi antara pelajar, penyelidik dan komuniti akademik berperanan memperluas jaringan ilmu antara Malaysia dan Persekutuan Rusia,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa suasana santai seperti resepsi ini membolehkan delegasi kedua-dua negara berkongsi pandangan dengan lebih terbuka dan berkesan di luar protokol rasmi.

Sehubungan itu, Malaysia melihat hubungan tersebut sebagai peluang memperkukuh kerjasama penyelidikan, memperluas mobiliti akademik dan memantapkan pembangunan bakat dalam bidang pendidikan tinggi.

Falkov yang mewakili delegasinya turut menyampaikan penghargaan terhadap hospitaliti Malaysia serta pengalaman budaya yang unik sepanjang berada di Langkawi.

EZA YUSMAWATI YAACOP