TASEK GELUGOR, 12 November – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini menampilkan kelainan dengan format penganjuran yang lebih kompetitif dan teliti, khususnya dalam pemilihan peserta.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata pendekatan baharu itu bukan sahaja mampu menjimatkan kos serta tenaga kerja semua pihak terlibat, malah memastikan hanya peserta berkualiti tinggi dipilih untuk menyertai pertandingan.
“Penganjuran kali ini menyaksikan kelainan apabila pemilihan peserta tidak lagi mengikut daerah seperti kebiasaannya. Sebaliknya, saingan dijalankan dengan lebih teliti dan kompetitif.
"Kedua-dua sesi Tilawah dan Hafazan juga dilaksanakan secara berturut-turut di lokasi yang sama, membuktikan kecekapan pengurusan penganjuran di samping menjimatkan masa dan tenaga semua pihak terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1447H/2024M di Pusat Konvensyen PERDA, Kubang Menerong, di sini.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Long.
Program dua hari itu dijadual berakhir esok dengan majlis penutupan rasmi bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Sebanyak enam peserta qari dan qariah mempersembahkan bacaan dalam kategori Tilawah Al-Quran, manakala 26 peserta lagi bersaing dalam kategori Hafazan Al-Quran.