fb fb fb fb fb

Kerajaan tegas tidak rayu keputusan tuntutan 40% hasil Sabah

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 November - Kerajaan MADANI mengambil pendirian tegas untuk tidak merayu keputusan penghakiman berhubung hak rakyat Sabah bagi menuntut 40 peratus hasil bersih yang perlu dikembalikan kepada negeri itu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Selasa yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni, pemahaman mendalam dan semangat tolak ansur tinggi dalam kalangan pimpinan kerajaan.

“Kerajaan telah memutuskan bahawa kita tidak akan rayu hak rakyat Sabah, negeri Sabah untuk menuntut 40 peratus dan kita akan mulakan rundingan serta-merta,” katanya ketika berucap di Fiesta Cahaya Deepavali di IWK Eco Park, Pantai Dalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menjawab soalan pertama di Parlimen pada Khamis berhubung isu 40 peratus hasil bersih kepada Sabah.

“Ini isu berat kerana ia melibatkan wang ringgit rakyat. Kita mahukan keadilan, tetapi kita juga mahukan satu keputusan yang mampan dan lestari,” katanya.

Bagaimanapun, Datuk Fahmi menjelaskan kerajaan akan merayu alasan penghakiman kerana mendapati terdapat beberapa kelemahan dan kecacatan, termasuk tafsiran yang menyatakan semua kerajaan Persekutuan dan negeri dari tahun 1974 hingga 2021 telah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Ini perkara yang amat serius. Ia membawa maksud semua Perdana Menteri dari zaman Tun Razak, Ketua Menteri Sabah serta semua anggota Jemaah Menteri ketika itu melanggar Perlembagaan. Hal ini wajib kita rayu,” katanya.

Beliau berkata keputusan kerajaan itu bukan sahaja penting untuk hari ini, tetapi juga mempunyai implikasi terhadap sejarah dan kestabilan negara pada masa hadapan.

Bekenaan sambutan Deepavali, Datuk Fahmi turut mengaitkan perjuangan menegakkan keadilan dengan semangat perayaan tersebut yang melambangkan kemenangan cahaya atas kegelapan dan keadilan atas kezaliman.

“Kerajaan MADANI bukan hanya perjuangkan hak semua kaum dan negeri, malah berusaha mengembalikan hak rakyat Sabah dan Sarawak sambil menegakkan keadilan untuk semua,” ujarnya.

Mengaitkan semangat perayaan Deepavali dengan isu keadilan, beliau menyifatkan perayaan itu sebagai simbol kemenangan cahaya atas kegelapan serta keadilan atas kezaliman, selaras dengan perjuangan kerajaan menegakkan keadilan untuk semua pihak.

“Deepavali adalah saat yang melambangkan kemenangan cahaya atas kegelapan, keadilan atas kezaliman. Dalam semangat itu, saya berasa ada keperluan memberi penjelasan bahawa kerajaan juga ingin menegakkan keadilan untuk seluruh rakyat,” katanya.

Dalam ucapannya, Datuk Fahmi turut menzahirkan rasa syukur kerana sambutan Deepavali tahun ini disertai dengan penyampaian sumbangan kepada hampir 1,100 keluarga di Lembah Pantai iaitu jumlah terbesar dalam sejarah kawasan berkenaan.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut dan menegaskan bahawa perpaduan serta kepelbagaian masyarakat di Malaysia perlu terus dipupuk.

“Kepelbagaian ini adalah kekuatan kita. Kita di Malaysia bertuah kerana dapat meraikan perayaan semua kaum dalam keadaan aman damai,” katanya.

ROSLINA BINTI DIN