SERDANG, 12 Disember - Perkhidmatan Pusat Jantung Hospital Serdang akan dibuka pada orang ramai bermula esok dengan menyediakan pelbagai fasiliti yang lengkap untuk pesakit jantung di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata kadar bayaran yang dikenakan oleh pusat ini juga serendah RM64 bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan terutamanya golongan B40.
“Dengan adanya pusat rawatan jantung ini, lebih ramai pesakit dari seluruh negara dapat dirawat dan ramai pakar serta ahli pasukan sokongan bidang kardiologi dan pembedahan kardiotorasik daripada KKM dapat dilatih untuk memberi rawatan bertaraf dunia.
“Dengan adanya pusat jantung ini juga dijangka dapat mempercepatkan proses rawatan pesakit dan tempoh menunggu bagi rawatan angiogram (pengimejan saluran arteri) juga boleh dipercepatkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pusat Jantung Hospital Serdang, di sini.
Tambah Zaliha, pusat rawatan ini dilengkapi dengan peralatan terkini yang serba canggih seperti sebuah Makmal Jantung Invasif (ICL) di Jabatan Kecemasan (ED) Yang Pertama di Malaysia.
Ujarnya, kemudahan yang ada di pusat ini setanding di negara maju yang lain.