fb fb fb fb fb

2,408 penduduk terjejas banjir di lima negeri

(Foto APM Segamat)

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di lima negeri mencatatkan 2,408 orang di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4.00 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, penduduk terjejas di Kelantan dan Johor mencatatkan trend kenaikan, manakala Pahang dan Terengganu berkurangan, serta kekal bagi Perak.

NADMA memberitahu, penduduk terjejas banjir di Kelantan mencatatkan 1,626 orang daripada 504 keluarga di daerah Pasir Mas.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh menempatkan 680 orang, PPS SK Gual Periok (448), PPS SK Kubang Gual (179), PPS Putat Tujoh (132), PPS SK Sri Kiambang (124), dan PPS Masjid Mukim Padang Licin menempatkan 63 orang," katanya.

Sementara itu, Johor merekodkan 34 penduduk daripada 11 keluarga terjejas di daerah Segamat.

"PPS Balairaya Kampung Batu Badak menempatkan 27 orang dan Balairaya Kampung Kuala Paya menempatkan tujuh orang," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pahang dan Terengganu mencatatkan trend penurunan selepas penutupan beberapa PPS di negeri tersebut.

Tiga PPS masih dibuka di Pahang yang menempatkan 405 orang daripada 121 keluarga di daerah Temerloh dan Bera.

"PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan menempatkan 370 orang dari daerah Temerloh, manakala PPS SK Seri Buntar (26) dan PPS SK Kerayong menempatkan sembilan orang dari Bera,

Dalam pada itu, Terengganu masih membuka enam PPS di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun dan Besut yang menempatkan 209 orang daripada 55 keluarga.

"PPS SK Chendering menempatkan tujuh orang dan PPS SK Atas Tol (73) dari Kuala Terengganu, PPS SK Bukit Nanas di Kuala Nerus (70), PPS Balairaya Padang Kemunting di Kemaman (23), PPS SK Tok Kah di Dungun (24) dan PPS Balairaya Kampung Pantai di Besut menempatkan 12 orang.

"Perak pula kekal 134 orang daripada 31 keluarga di PPSĀ SMK Abdul Rahman Talib, Hilir Perak," jelas NADMA.

(Foto APM Hilir Perak)

Media Baharu