SEPANG, 15 April-Presiden China, Xi Jinping tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama 3 hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pesawat yang membawa beliau tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 6.30 petang tadi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Malaysia dan kali terakhir adalah pada Oktober 2013 sempena lawatan negara.
Jinping, yang diiringi oleh menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan China, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara oleh Jinping bagi 2025, yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.
Semasa lawatan negara terakhirnya ke Malaysia pada 2013, kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik ke tahap perkongsian strategik komprehensif.
Hubungan diplomatik Malaysia dan China terjalin sejak 31 Mei 1974.