SHAH ALAM, 27 November - Hukuman rotan wajar dikembalikan ke sekolah secara berperingkat sebagai langkah menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menegaskan pelaksanaan hukuman tersebut bagaimanapun harus mengikut jenis kesalahan dan kategori sebatan tertentu, serta dijalankan secara terkawal bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa guru.
Menurut beliau, guru dan ibu bapa perlu memahami kepentingan disiplin tegas kerana hukuman yang dilaksanakan tanpa rekod rasmi di sekolah, jauh lebih baik berbanding kes pelajar dalam siasatan polis.
“Apabila laporan polis dibuat, rekod kesalahan akan kekal hingga dewasa. Semua pihak perlu memilih sama ada membenarkan sekolah menjadi benteng awal pencegahan atau membiarkan kesalahan kecil berkembang menjadi rekod jenayah yang mengiringi individu sepanjang hidup,” tambah beliau.
Statistik menunjukkan peningkatan kes tangkapan pelajar di Selangor pada 2025 dalam tempoh 10 bulan, iaitu 122 tangkapan berbanding 108 tangkapan pada tempoh sama tahun 2024. Jumlah serbuan juga meningkat daripada 48 pada tahun 2024 kepada 68 pada tahun 2025.
Antara kesalahan yang direkodkan termasuklah pemerasan, buli, penggunaan kata-kata kesat, mencederakan, pergaduhan, merusuh, serta penglibatan elemen luar seperti gengsterisme.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri 'Program Immediate Reform Kempen Antibuli: Dari Rumah ke Sekolah - Ibu Bapa Asas Benteng Pencegahan', bertemakan #BuliBukanBudayaIaSatuJenayah.
Kempen ini menekankan bahawa perbuatan buli bukan lagi kesalahan kecil, tetapi satu bentuk jenayah yang membawa implikasi serius.
Program anjuran PDRM Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu menghimpunkan lebih 700 peserta, termasuk warga PDRM, guru, dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).