TANAH MERAH, 27 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 172 peruncit dan pemborong di seluruh negeri sebagai pemegang stok mini di kawasan banjir, sekali gus memastikan bekalan barangan keperluan kekal mencukupi sepanjang musim tengkujuh.
Pelantikan itu membabitkan 78 Peruncit Terpilih (DDR), 45 Pemborong Terpilih (DDW), 30 premis stesen minyak, serta 19 premis lain termasuk pengusaha ayam, telur dan gas petroleum cecair (LPG).
Menurut Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail, pemegang stok mini berstatus pemegang lesen CSA itu dipilih berdasarkan lokasi, kapasiti perniagaan dan keupayaan menyimpan barangan kawalan serta keperluan asas.
Kesemua pemegang lesen berkenaan dibenarkan menambah sehingga 30 peratus simpanan barangan kawalan berjadual daripada had sedia ada bermula November hingga Mac depan, sebagai pelan kontingensi menghadapi banjir.
"Pemborong dan peruncit terpilih dipecahkan mengikut jajahan. Terdapat 26 jenis barangan asas yang kita minta pemegang stok mini ini tambah untuk pastikan bekalan mencukupi termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, telur, beras dan petrol," jelasnya ketika ditemui media pada Program Kesiapsiagaan Menghadapi Musim Tengkujuh di Jedok, di sini.
Dalam perkembangan lain, Azman memaklumkan sepanjang Januari hingga Oktober lepas, KPDN Kelantan melaksanakan lebih 94, 208 pemeriksaan premis dan 36,197 pemeriksaan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
"Daripada jumlah itu, 214 tangkapan dibuat melibatkan kes penyeludupan petrol, diesel dan minyak masak dengan nilai keseluruhan sitaan melebihi RM4.6 juta.
"Kebanyakan kes membabitkan penduduk tempatan dengan kes tertinggi melibatkan penyimpanan petrol dan minyak masak," katanya.