PUTRAJAYA, 27 November - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara percuma kepada penduduk terjejas banjir di seluruh negara yang kehilangan atau mengalami kerosakan dokumen akibat bencana itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam memastikan urusan perjalanan dan keperluan rasmi rakyat yang terkesan, tidak tergendala.
“JIM menzahirkan keprihatinan terhadap kesukaran yang dialami mereka yang terkesan banjir. Tawaran penggantian pasport percuma ini bertujuan memudahkan urusan mereka yang terjejas, sekali gus memastikan dokumen perjalanan yang hilang atau rosak tidak menjadi halangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, permohonan tanpa bayaran itu boleh dibuat di mana-mana pejabat Imigresen berhampiran di seluruh negara.
Pemohon perlu membawa kad pengenalan, pasport asal jika masih ada, salinan laporan polis bagi kes kehilangan, serta laporan pengesahan bencana banjir daripada Jabatan Bomba atau Pihak Berkuasa Tempatan sebagai syarat kelayakan.
“Kami kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik dengan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” ujar beliau lagi.
Datuk Zakaria berharap langkah itu dapat meringankan beban penduduk terlibat yang dalam fasa pemulihan, terutama apabila mereka perlu menyelesaikan urusan kritikal selepas bencana.
“Diharapkan usaha ini dapat membantu mereka kembali mengurus kehidupan harian dengan lebih teratur dan mudah,” katanya.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan digalakkan hadir ke pejabat JIM terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.