fb fb fb fb fb

Liputan 5G Johor diperkukuh, capai 84.1% kawasan berpenduduk

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 November — Liputan rangkaian 5G di Johor terus berkembang positif dengan 84.1 peratus kawasan berpenduduk kini menikmati capaian 5G, hasil pembangunan 924 tapak pemancar oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata pencapaian sehingga 31 Oktober 2025 itu selaras dengan sasaran Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memastikan liputan internet 100 peratus di kawasan berpenduduk.

“Bagi Parlimen Muar, 20 tapak pemancar telah beroperasi dan menyediakan 88.7 peratus liputan 5G," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Teo, DUN Maharani mencatat liputan tertinggi berjumlah 94.5 peratus melalui 13 tapak pemancar, manakala tujuh tapak di DUN Sungai Balang menyediakan liputan 75.2 peratus,” katanya.

Selain rangkaian pertama oleh DNB, beliau memaklumkan rangkaian 5G kedua yang dibangunkan oleh U Mobile Sdn Bhd kini mencapai 50.6 peratus liputan di Johor, hasil naik taraf 316 tapak sejak mula beroperasi pada 14 Julai 2025.

"Bagi Parlimen Muar, 20 tapak akan dinaik taraf selewat-lewatnya pada 17 Julai 2026, sebagai sebahagian sasaran mencapai 80 peratus liputan 5G bagi rangkaian kedua,” tambahnya.

Daripada jumlah itu, 18 tapak terletak di DUN Maharani manakala dua lagi di DUN Sungai Balang.

Mengulas lanjut, Teo memaklumkan, peluasan liputan 5G ke kawasan luar bandar akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan setempat dan kesediaan infrastruktur.

JENDELA yang dilancarkan pada 2020, merupakan pelan komprehensif negara untuk memperkukuh rangkaian internet melalui pembinaan infrastruktur baharu, menaik taraf stesen pemancar serta memperluas teknologi 4G dan 5G, dengan matlamat memastikan seluruh kawasan berpenduduk menikmati akses internet berkualiti.

EZA YUSMAWATI YAACOP