fb fb fb fb fb

Banjir Kemaman: Penduduk dipindahkan ke PPS, mohon sistem saliran segera dibaik pulih

Foto RTM

KEMAMAN, 27 November – Penduduk Taman Rakyat Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di DITC Telok Kalong hari ini, selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter akibat hujan lebat berterusan sejak semalam, berharap sistem saliran dapat dinaik taraf dalam kadar segera.

Ini termasuk mendalamkan parit dan sungai kecil yang dilihat terlalu cetek, bagi mengelakkan limpahan air setiap kali hujan lebat.

Tinjauan RTM ke PPS berkenaan mendapati, kesemua penduduk terbabit mula dipindahkan sejak awal pagi tadi dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Menurut seorang penduduk terjejas, Ariffin Ismail, limpahan air dari bukit bersebelahan tapak projek pembinaan rumah baharu telah memasuki rumah mereka sejak awal pagi.

“Parit yang sedia ada perlu diperdalamkan atau diperluaskan lagi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ku Nurul Atikah Ku Azmi pula memberitahu, sebelum ini tapak projek berkenaan berfungsi sebagai tadahan air. Namun, pembinaan rumah baharu menyebabkan air dari bukit melimpah ke kawasan kediaman mereka.

“Air dari bukit sepatutnya terus ke sungai, bukannya masuk ke rumah,” ujarnya.

Sementara Mohd Romzi Zakaria menegaskan pihak berkenaan perlu segera melaksanakan kerja-kerja mendalamkan sistem perparitan bagi mengelakkan banjir berulang setiap tahun.

“Parit sekarang terlalu cetek, jadi saya mohon pihak berkenaan agar menggali dan memperluas saliran supaya air dapat mengalir dengan lancar,” katanya.
 
Sehingga 4:00 petang ini kira-kira 3,841 penduduk dari 1,204 keluarga di Terengganu kini berada di 52 PPS di tujuh daerah susulan hujan lebat berterusan.

Selain Kemaman, banjir turut melanda Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
 

EZA YUSMAWATI YAACOP