fb fb fb fb fb

Kesiapsiagaan banjir diperkukuh, aspek komunikasi diperhebat - STAR

Foto PACU

PUTRAJAYA, 27 November - Pengurusan banjir yang lebih tersusun dan cekap demi kesejahteraan rakyat, antara fokus Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) Bilangan 10/2025, hari ini.

STAR dalam kenyataannya memaklumkan mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membentangkan situasi banjir semasa yang menjejaskan ribuan keluarga di beberapa negeri terlibat. Susulan itu, kerajaan mengumumkan penyaluran RM57 juta merangkumi Bantuan Wang Ihsan serta kos operasi bencana.

"Aset penyelamat dan sokongan logistik turut digerakkan lebih awal sebagai langkah mitigasi," jelas kenyataan tersebut.

Pada mesyuarat sama, Kementerian Komunikasi membentangkan pelan pemerkasaan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di kementerian dan agensi bagi memastikan mesej dasar yang disampaikan kepada rakyat lebih tuntas, tepat dan seragam.

"Kajian komprehensif selama dua bulan akan bermula segera bagi merangka model UKK yang lebih mantap dan responsif terhadap tuntutan media dan orang awam," tambah kenyataan itu.

Di samping kesiapsiagaan banjir dan aspek komunikasi, STAR turut memperhalusi pelbagai langkah penambahbaikan berimpak tinggi yang akan memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam.

Agenda lain mesyuarat tersebut termasuk taklimat mengenai Pekeliling Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan.

"Pekeliling ini akan menjadi rujukan utama dalam mengurangkan beban regulatori kerajaan sekurang-kurangnya 25 peratus serta memperkukuh disiplin dan akauntabiliti perkhidmatan awam melalui pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi.

"Tan Sri Shamsul Azri menegaskan bahawa fokus kerajaan adalah memastikan reformasi diterjemah kepada hasil yang nyata dan memberi kesan langsung kepada rakyat," jelas STAR.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN