fb fb fb fb fb

Banjir Selatan Thailand: Lebih 6,000 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 November - Lebih 6,000 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari kawasan terjejas banjir di Selatan Thailand manakala kira-kira 1,500 rakyat Malaysia masih terkandas, setakat pukul 3 petang tadi.

Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Kementerian Luar Negeri (KLN), Zamshari Shaharin bagaimanapun memaklumkan angka itu sentiasa berubah mengikut maklumat baharu yang diterima dari semasa ke semasa susulan operasi menyelamat yang masih berjalan.

Beliau memberitahu, untuk hari ini operasi penyelamatan dan pemindahan giat dilaksanakan sejak pukul 7.30 pagi tadi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

"Pasukan (operasi) Malaysia menjalankan misi hingga malam. Bagaimanapun pelaksanaan operasi bergantung kepada keadaan cuaca dan arahan pihak berkuasa tempatan," jelasnya pada Sesi Penerangan Status Warganegara Malaysia Terlibat Banjir di Selatan Thailand, di sini, hari ini.

Pada sesi sama, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi memaklumkan setakat pukul 1 tengah hari tadi, seramai 953 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan sama ada dibawa keluar dari kawasan bahaya atau dipindahkan ke 'staging point'.

"Jika diizinkan, mungkin hari ini kita akan dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya 90 peratus rakyat Malaysia. Namun sudah tentu yang sebaiknya kalau kita dapatkan keluarkan semua rakyat Malaysia hari ini.

"Tetapi insyaAllah 80-90 peratus kita boleh capai hari ini juga ekoran cuaca hari ini yang lebih cerah," jelas beliau.

Katanya, situasi banjir yang semakin surut di kebanyakan kawasan membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih cepat dan lancar.

Ahmad Fahmi turut memaklumkan operasi menyelamat memberi tumpuan di kawasan tengah bandar Hat yai yang paling teruk terjejas serta sekitar Stesen Kereta Api Hat yai yang berhampiran sungai.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN