fb fb fb fb fb

SPRM buat laporan polis berhubung tohmahan terhadap Ketua Pesuruhjaya

Foto fail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 November – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis berhubung sebuah klip video yang dimuat naik di Facebook, didakwa mengandungi tohmahan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya susulan penyebaran rakaman perbualan antara seorang wanita dan seorang ahli perniagaan, Albert Tei, yang mendakwa kononnya terdapat individu telah berjumpa Ketua Pesuruhjaya bagi meminta agar kes yang sedang disiasat SPRM diringankan dan 'diselesaikan secara baik'.

SPRM menegaskan tuduhan tersebut mempunyai motif jahat yang cuba menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya, sedangkan semua siasatan dijalankan secara telus tanpa campur tangan pihak luar.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM mengesahkan laporan polis tersebut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kedua-dua individu terbabit.

EZA YUSMAWATI YAACOP