fb fb fb fb fb

Protes pada majlis konvokesyen: Denda lepasan UM dinaikkan kepada RM10,000

Mahkamah Tinggi di sini menambah jumlah hukuman denda terhadap bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) Wong Yan Ke, 29, (gambar) daripada RM5,000 kepada RM10,000 kerana mengaibkan serta membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselor Universiti Malaya Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim ketika istiadat konvokesyen universiti itu, enam tahun lalu / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 April- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menaikkan denda RM5,000 kepada RM10,000 terhadap bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) kerana mengaibkan serta membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselor Universiti Malaya Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim ketika istiadat konvokesyen universiti itu, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan terhadap denda RM5,000 dijatuhkan ke atas Wong Yan Ke oleh Mahkamah Majistret di sini pada 9 Okt 2023 serta menaikkan hukuman penjara daripada tiga bulan kepada enam bulan, jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Muhammad Jamil menolak rayuan Wong, 29, selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim itu berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan dan majistret yang mengendalikan bicara telah memberikan alasan dalam menyampaikan keputusannya.

"Setelah meneliti keseluruhan kes, tiada keraguan dalam kes pendakwaan dan kesalahan seperti pertuduhan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

"Tidak ada alasan mencukupi untuk mengganggu keputusan majistret bicara yang mensabitkan perayu dan sabitan ke atas perayu adalah selamat, oleh itu sabitan terhadap perayu dikekalkan," katanya.

Hakim bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa denda RM5,000 adalah tidak mencukupi dan tidak bersesuaian dengan fakta dan keadaan kes berkenaan.

"Denda RM5,000 diketepikan dan digantikan dengan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika denda gagal dibayar. Saya difahamkan perayu telah membayar RM5,000 sebelum ini, oleh itu dia dikehendaki membayar RM5,000 lagi," katanya.

Pada 26 Feb 2020, Wong yang juga bekas pelajar kejuruteraan didakwa sengaja mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Abdul Rahim dan tetamu dengan tindakannya yang boleh menjejaskan keamanan awam sewaktu Istiadat Konvokesyen UM ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di sini pada 10 pagi, 14 Okt 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khalijah Mohd Khalid manakala perayu diwakili peguam Farida Mohamad.

Menurut laporan Bernama bertarikh 19 Okt 2019, semasa istiadat konvokesyen itu, Wong membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan 'Tolak Rasis'; 'Undur VC'; dan 'Ini Tanah Malaysia'.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE