fb fb fb fb fb

PRIME diaktifkan di tiga negeri terjejas banjir

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 November - Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu (PRIME) telah diaktifkan di tiga negeri yang terjejas banjir.

Langkah berkenaan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal berfungsi di kawasan yang terputus capaian Internet dan talian telefon, seterusnya memudahkan koordinasi bantuan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tiga negeri terlibat ialah Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Rabu, sebanyak 15 lokasi infrastruktur komunikasi dilaporkan terjejas akibat bencana banjir namun enam daripadanya telah pulih dan kembali beroperasi.

"Setakat ini 157 PPS telah di dibuka tetapi kita mendapati bahawa memang ada lapan PPS di Kelantan yang ada masalah liputan internet. Oleh sebab itu MCMC telah minta syarikat telekomunikasi untuk pergi ke PPS dan menyediakan peralatan sementara, bagi memastikan liputan internet tersedia semasa tempoh kritikal ini", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan tanbahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala krai, Abdul Latif Abdul Rahman di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Nie Ching, kos pembangunan satu unit PRIME mencecah RM1.6 juta termasuk penambahbaikan merangkumi servis peralatan, sokongan teknikal, penyelenggaraan sistem komunikasi selama setahun serta penyelenggaraan kenderaan untuk tempoh lima tahun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD