KUALA LUMPUR, 15 April – Kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Agensi Kemajuan Teknologi Infrastruktur Korea (KAIA) dari Korea Selatan membuahkan hasil yang positif, khususnya dalam bidang pengangkutan dan infrastruktur pintar.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sejak tahun 2018, syarikat-syarikat Korea Selatan telah melaksanakan sebanyak 89 projek di Malaysia bernilai RM29.3 bilion.
Projek-projek tersebut tidak hanya membantu dalam pembangunan infrastruktur negara, tetapi juga memperkukuh pertukaran kepakaran dan tenaga kerja kedua-dua negara.
“Peranan pihak industri dari Korea, termasuk syarikat kontraktor mereka, sangat signifikan dalam membina mercu tanda negara kita.
"Antara projek yang terkenal adalah Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, dan terbaru Menara Merdeka 118.
"Teknologi pembinaan terkini yang digunakan di Korea turut dipelajari oleh industri kita, dan mereka juga dapat mempelajari pengalaman dan kepakaran daripada kami di Malaysia,” kata Nanta dalam sidang media selepas Seminar Teknologi Jalan dan Pembinaan Malaysia-Korea Selatan yang diadakan di sini..
Selain itu, beliau turut mengumumkan sebagai kesinambungan kerjasama strategik tersebut, beliau telah dijemput untuk menghadiri Seminar Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang akan diadakan di Suwon, Seoul, bulan depan.
Seminar berkenaan diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam usaha memajukan sistem pengangkutan pintar serta meningkatkan inovasi dalam sektor pembinaan dan teknologi.