fb fb fb fb fb

Tun Abdullah pemimpin sederhana, kehilangannya terasa- MB Perlis

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli

KANGAR, 15 April- Pemergian Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja diratapi keluarga dan rakan taulan, malah turut menyentuh hati seteru politik.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyifatkan kehilangan allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negara, menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang rendah hati, sederhana serta disenangi rakyat dari pelbagai lapisan.

“Perlis telah diperkenankan oleh Tuanku Raja Perlis untuk mengibarkan bendera separuh tiang. Hari ini semua bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung.

“Kita amat terasa kehilangan Tun Abdullah kerana beliau seorang Perdana Menteri yang cukup humble, sederhana dalam semua tindakan, dan disenangi oleh seluruh rakyat jelata, termasuk rakyat negeri Perlis,” katanya ketika ditemui media di Kangar.

Allahyarham Tun Abdullah, yang memegang jawatan Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009, dikenang atas sumbangannya dalam memperkukuhkan pentadbiran negara serta memperkenalkan dasar-dasar yang memacu pembangunan wilayah.

Antara jasa besar beliau kepada negeri-negeri di utara Semenanjung ialah penubuhan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, satu langkah strategik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pelaburan lebih luas di kawasan tersebut.

Menteri Besar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham dan menyeru seluruh rakyat negeri Perlis untuk bersama-sama mendoakan roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE