fb fb fb fb fb

KPM sasar peluasan sehingga 350 kelas prasekolah pada 2026

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 November - Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan peluasan sehingga 350 kelas prasekolah di seluruh negara tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, peluasan yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar itu merupakan persediaan menjadikan prasekolah sebagai pendidikan wajib menjelang tahun 2030.

"Selaras dengan pelaksanaan Reformasi Pendidikan, pendidikan prasekolah diselaraskan semula dengan tumpuan diberikan kepada penyediaan asas pendidikan awal yang kukuh dan seragam sebagai langkah pertama ke arah pembelajaran sepanjang hayat," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sehingga kini, terdapat 10,197 kelas prasekolah di seluruh negara melibatkan 6,368 institusi dibawah KPM.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,222 institusi bersamaan 50.6 peratus terletak di bandar, manakala baki 3,146 institusi atau 49.4 peratus terletak di luar bandar dan juga pedalaman.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR