KUALA LUMPUR, 27 November — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) dilaksanakan dengan penuh ketelusan, termasuk melalui sesi libat urus bersama ahli parlimen.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata taklimat khas yang diberikan kepada Kaukus Parlimen hari ini menjadi pentas penting untuk menjelaskan fakta sebenar mengenai ART, sekali gus memastikan semua wakil rakyat memahami rangka perjanjian, skop rundingan serta implikasi jangka panjang terhadap ekonomi negara.
Menurut beliau, sesi tersebut turut digunakan untuk membetulkan maklumat yang mengelirukan, termasuk persepsi dan dakwaan tidak tepat yang tular berkaitan komitmen Malaysia dalam rundingan itu.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan beberapa persepsi tidak tepat berkaitan isu kedaulatan yang telah tular. Pertama, dakwaan bahawa tindakan kita menggadaikan kedaulatan negara adalah sama sekali tidak benar.
"Kedua-dua kerajaan tetap komited untuk mempertahankan kedaulatan masing-masing berdasarkan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh,” jelas beliau kepada pemberita selepas sesi taklimat kepada Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART Malaysia–AS hari ini.
Tengku Datuk Seri Zafrul turut menegaskan bahawa ART bukan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan tidak meliberalisasikan pasaran Malaysia secara sewenang-wenangnya.
Sebaliknya memastikan negara kekal dilindungi daripada risiko tarif unilateral, sekali gus menawarkan kestabilan kepada pelabur asing.
MITI akan terus menyediakan input teknikal kepada Parlimen serta berkongsi penilaian kos faedah ART pada sesi kaukus seterusnya bagi memastikan semua wakil rakyat memiliki maklumat lengkap sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.