fb fb fb fb fb

Xanana Gusmão diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Gusmão diiringi untuk memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), yang terdiri daripada 3 Pegawai dan 103 Lain-Lain Pangkat, diketuai Mejar Arifuddin Mohd Yusuf / Foto RTM

PUTRAJAYA, 2 Disember – Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, TYT Xanana Gusmão bersama delegasi, dirai dalam Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini, bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Lawatan tiga hari Gusmão, yang bermula semalam hingga 3 Disember merupakan lawatan pertama beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Julai 2023.

Ketibaan Gusmão di Perdana Putra pada pukul 9.00 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lagu rasmi kedua-dua negara berkumandang sejurus ketibaannya.

Gusmão kemudiannya diiringi untuk memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), yang terdiri daripada 3 Pegawai dan 103 Lain-Lain Pangkat, diketuai Mejar Arifuddin Mohd Yusuf.

Majlis sambutan rasmi itu diikuti dengan mesyuarat dua hala yang membincangkan isu-isu kepentingan bersama kedua-dua negara.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kabinet, diplomat asing serta pegawai Kanan Kerajaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN