KUALA LUMPUR, 13 Mei-Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menggesa tindakan segera dan nyata diambil bagi mengelak lebih banyak kematian hidupan liar, termasuk membina bonggol jalan di lokasi persimpangan utama haiwan melintas.
Menurut WWF-Malaysia, langkah itu dilihat sebagai intervensi kritikal yang mampu memaksa pemandu memperlahankan kenderaan serta menyelamatkan banyak nyawa selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Gesaan itu susulan kejadian menyayat hati pada sambutan Hari Ibu semalam di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak, apabila seekor gajah betina dilihat meratapi kematian anaknya akibat dilanggar sebuah lori.
"Tragedi ini bukan kejadian terpencil. Ia mencerminkan keperluan mendesak untuk menambah baik langkah perlindungan hidupan liar di sepanjang lebuh raya tersebut, yang dikenali sebagai kawasan panas laluan lintasan haiwan," kata WWF-Malaysia dalam kenyataan.
Menurutnya papan tanda amaran sedia ada tidak mencukupi dan tidak memberi kesan signifikan dalam menurunkan kadar kemalangan melibatkan haiwan.
WWF-Malaysia turut menegaskan keperluan mendesak untuk menyediakan lintasan hidupan liar serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu di laluan berkenaan.
Katanya, jalan raya berkenaan merentasi kawasan habitat kritikal seperti Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor, menjadikannya zon konflik antara pembangunan dan habitat haiwan liar.