fb fb fb fb fb

Pemandu lori maut nahas di selekoh jalan Tun Sardon

Seorang pemandu lori muatan tar maut selepas kenderaan dipandunya terbabas di salah sebuah selekoh tajam di Jalan Tun Sardon, di Balik Pulau, malam tadi / Foto RTM

BALIK PULAU, 13 Mei - Seorang pemandu lori muatan tar maut selepas kenderaan dipandunya terbabas di salah sebuah selekoh tajam di Jalan Tun Sardon, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat tersepit di bahagian bawah lori.

Penolong Penguasa Bomba dan Ketua Balai Bomba Seri Balik Pulau, Mohd Faiz Helmi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.45 malam sebelum bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang mangsa tersepit di bahagian kabin bawah lori. Operasi menyelamat mengambil masa hampir dua jam menggunakan peralatan rescue tools dan telescopic ramp untuk mengeluarkan mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut beliau, kesukaran utama pasukan penyelamat adalah mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian bawah kabin kenderaan berat itu.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh tajam sebelum terbabas ke bahu jalan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN