KUALA LUMPUR, 13 November -Dua buah trak bantuan kemanusiaan dari Malaysia berjaya memasuki Gaza melalui pintu sempadan Rafah minggu lalu, membawa 1,600 guni tepung.
Pengurus Kanan Projek Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Halim Sakrani berkata, 500 keluarga masing-masing menerima satu guni tepung seberat 25 kilogram.
“Selepas gencatan senjata, penduduk Gaza masih tidak menerima bekalan makanan yang cukup. Kemasukan trak yang membawa tepung ini dapat membantu mereka dari kelaparan.
Ia juga merupakan makanan ruji penduduk di Gaza, selain dapat bertahan lama, bahan makanan berkenaan agak mudah untuk disediakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Halim berkata, Israel ketika ini hanya membenarkan kira-kira 100 trak membawa bantuan masuk ke Gaza setiap hari.
Jumlah itu jauh lebih rendah daripada komitmen awal 600 trak sehari semasa pengumuman gencatan senjata.
Katanya, jumlah itu tidak memadai untuk menampung keperluan penduduk Gaza yang kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar.
Sementara itu, Pengurus MyCARE Gaza, Dr. Zaid Shehada memaklumkan, keadaan di Gaza bertambah baik berbanding sebelum ini, namun rakyat masih berdepan kekangan bekalan.
"Sekitar 750 tan makanan sahaja dibenarkan masuk setiap hari, berbanding sasaran keperluan minimum 2,000 tan sehari.
Jumlah lori bantuan yang terhad serta kawalan ketat Israel terhadap jenis barangan yang dibenarkan, turut menyebabkan harga barang asas melambung tinggi dan tidak mampu ditanggung kebanyakan keluarga," ujarnya.
Terdahulu, MyCARE berjaya membawa masuk 40 tan tepung dan 1,000 pek makanan bernilai RM360,000 untuk diagihkan di beberapa kem sementara sekitar Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 68,200 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak.