fb fb fb fb fb

VMFO baharu UiTM pacu hala tuju Bumiputera profesional

Majlis Pelancaran Visi, Misi, Falsafah dan Objektif (VMFO) UiTM di Dewan Konsert Seri Budiman (DKSB), UiTM Shah Alam

SHAH ALAM, 13 November – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarah baharu dengan melancarkan visi, misi, falsafah dan objektif (VMFO) UiTM sebagai kerangka strategik universiti untuk melahirkan generasi Bumiputera berilmu, beradab dan berkeupayaan global.

Majlis pelancarannya berlangsung di Dewan Konsert Seri Budiman (DKSB), UiTM Shah Alam dan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, menerusi ucapannya menegaskan bahawa VMFO baharu ini merupakan perubahan besar yang membentuk wajah UiTM masa hadapan.

Beliau berkata visi baharu UiTM iaitu “Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional” dirumus bagi menggerakkan agenda memperkasa bangsa melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan bakat masa depan.

“Visi baharu UiTM jelas dan progresif memposisikan UiTM bukan sekadar institusi ilmu, tetapi pemacu utama dalam melahirkan Bumiputera profesional yang berdaya saing, berjiwa besar dan memiliki karakter unggul,” katanya.

Manakala, misi baharu UiTM yang memberi fokus kepada pembentukan insan seimbang melalui tiga teras utama iaitu keilmuan, adab dan kepakaran.

Misi itu menekankan usaha UiTM untuk melonjak keilmuan, adab dan kepakaran Bumiputera agar berjiwa usahawan melalui kurikulum termaju, pembangunan bakat, penyelidikan berimpak dan sinergi industri, seiring keperluan negara masa kini dan masa depan.

“UiTM mahu melahirkan graduan berjiwa usahawan generasi yang berfikiran maju, inovatif dan tidak hanya menjadi pencari pekerjaan, tetapi pencipta peluang,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa teras keilmuan, adab dan kepakaran saling melengkapi dalam membina kekuatan akademik, sahsiah dan kemahiran profesional mahasiswa UiTM.

Falsafah baharu UiTM berpaksikan keyakinan bahawa setiap insan dianugerahi Allah SWT dengan bakat dan potensi yang boleh digilap melalui proses mengasuh, mendidik dan melatih.

Selaras dengan itu, UiTM turut memperkenalkan 10 objektif strategik yang memberi fokus kepada beberapa perkara, antaranya akses pendidikan inklusif, kurikulum terkehadapan, peningkatan kebolehpasaran graduan, penyelidikan berimpak tinggi dan jaringan strategik global.

Dalam penutup ucapannya, Naib Canselor menegaskan bahawa UiTM adalah amanah sejarah bangsa yang tidak boleh dikhianati.

“UiTM adalah tempat anak bangsa datang dengan harapan, dan pulang dengan maruah. Tempat bakat kecil disuburkan menjadi kekuatan besar. Amanah ini mesti kita pikul bersama,” katanya.

Beliau menyeru seluruh warga UiTM menjadikan pelancaran tersebut sebagai permulaan tekad baharu, dan mengangkat UiTM sebagai universiti unggul yang berjiwa manusiawi, berpaksikan ilmu dan adab, serta menjadi pemacu masa depan Bumiputera dan negara.

ROSLINA BINTI DIN