KUALA LUMPUR, 13 Mei- Status pembinaan dua buah pesawat rondaan maritim (MPA) fasa 1 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini melebihi 60 peratus.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pembinaan pesawat yang sedang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Itali, Leonardo S.p.A dengan harga sekitar RM900 juta itu juga sedang berjalan mengikut jadual.
Perkembangan status kemajuan dua buah pesawat itu dikemaskini selepas lawatan Datuk Seri Khaled ke fasiliti syarikat pertahanan Republik Itali, Leonardo S.p.A. dan menerima taklimat yang diketuai Stefano Bortoli, Pengarah Urusan Aeronautics Division.
Datuk Seri Khaled turut memaklumkan, perolehan MPA ini merupakan sebahagian perancangan perolehan yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).
“Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia sememangnya memerlukan MPA. Selain melaksanakan misi seperti “Anti-Surface Warfare” dan “Anti-Submarine Warfare”, ia digunakan untuk pengawasan zon maritim negara yang cukup luas.
“Sebanyak 6 buah pesawat MPA dirancang untuk diperoleh secara berfasa,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.
Dua pesawat tersebut merupakan sebahagian daripada perolehan yang dimeterai antara Malaysia dan Leonardo pada tahun 2023.
Kedua-duanya dijangka siap dan diserahkan kepada TUDM menjelang tahun hadapan.