LANGKAWI, 13 Mei - Sebuah kereta terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung dan tercampak ke pantai di Langkawi.
Kemalangan berlaku pagi semalam di Jalan Teluk Yu, Pantai Pasir Hitam.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashaari, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 11.35 pagi.
Kemalangan melibatkan seorang wanita berusia 22 tahun yang memandu sendirian ke tempat kerja.
Dalam kenyataan media, beliau berkata kereta mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke gaung.
Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.