BALI, 21 Mei - Kerjasama baharu serta dana menjadi fokus utama sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi dan Pertemuan Dua Hala pada Forum Air Dunia (WWF) Kali Ke-10 yang berlangsung di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan, Bank Dunia mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu memastikan agar bekalan dan keperluan air bersih dapat dinikmati bersama.
"Ia memerlukan sokongan bukan sahaja dalam negara kita tetapi seluruh rantau dari seluruh dunia apatah lagi dengan Negara maju dan juga PBB dan Bank Dunia yang perlu datang dengan kaedah penyelesaian apa sahaja isu yang dibangkitkan dan komitmen untuk menjaga dan memulihara air ini bukan murah ia memerlukan dana yang begitu besar sekali", kata Fadillah pada sidang media selepas menghadiri forum berkenaan di Pusat Konvensyen Bali Nusa Dua (BNDCC) di sini.
Fadillah turut memberitahu, sokongan dari negara-negara maju amat diperlukan bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan sebarang isu air.