fb fb fb fb fb

Mohamad Sabu akan wakili Malaysia pada upacara pengebumian Presiden Iran

Datuk Seri Anwar bercakap dengan Presiden Interim Republik Islam Iran Mohammad Mokhber menerusi panggilan telefon hari ini / FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan, Malaysia akan menghantar Datuk Seri Mohamad Sabu ke Iran untuk menghadiri majlis pengebumian Presiden Ebrahim Raisi.

"Hari ini saya telah menghubungi Presiden Interim Republik Islam Iran Mohammad Mokhber dan merakamkan ucapan takziah di atas pemergian almarhum Presiden Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian yang maut dalam nahas helikopter pada 19 Mei lalu.

"Saya memaklumkan bahawa Malaysia akan menghantar seorang Menteri kanan (Mohamad Sabu) ke Iran untuk menghadiri majlis pengebumian almarhum Presiden Raisi,"menurut Datuk Seri Anwar menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Datuk Seri Anwar turut mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan allahyarham Presiden Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian pada tahun lepas di New York dan Riyadh.

Katanya, pada pertemuan tersebut, beliau telah memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepemimpinan almarhum Presiden sebelum ini.

Mokhber merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah sementalahan menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi.

Datuk Seri Anwar turut berduka di atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis dan malang itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.

Di akhir perbualan, beliau memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE