fb fb fb fb fb

Wujud defisit kepercayaan, PBB tidak lagi diyakini laksana reformasi - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penindasan di Gaza sebagai contoh paling jelas kegagalan tadbir urus global ketika ini. Foto- Facebook Anwar Ibrahim

TIANJIN, 1 September - Wujud defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kerana badan itu tidak lagi diyakini mampu melaksanakan agenda reformasi dalam tadbir urusnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata krisis keyakinan itu semakin ketara apabila PBB gagal mengawal ketidakadilan perdagangan, struktur kewangan antarabangsa serta usaha menangani perubahan iklim.

“Sentiasa ada jurang antara apa yang diperkatakan dengan penderitaan yang menimpa masyarakat antarabangsa, serta tindakan yang tidak semestinya sepadan dengan cita-cita tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin.

Datuk Seri Anwar menegaskan penindasan kejam terhadap penduduk di Semenanjung Gaza adalah contoh paling jelas tentang kegagalan tadbir urus global yang berlaku ketika ini.

“Ramai rakan saya menyebut kekejaman yang berlaku di depan mata di Gaza dan Palestin, termasuk pembunuhan bayi serta kanak-kanak tanpa sebarang hukuman. Kekejaman itu bukan sahaja berlaku di Gaza dan Palestin, malah menjejaskan negara jiran dari Lubnan hingga Iran dan Iraq. Masyarakat antarabangsa pula kelihatan tidak berdaya menghalangnya,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan Malaysia menyambut baik Inisiatif Tadbir Urus Global yang diketengahkan Presiden Xi Jinping yang menekankan penghormatan kepada kedaulatan serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN