KUALA LUMPUR, 1 September- Kementerian Luar Negeri Malaysia mengesahkan bahawa tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi kuat berserta beberapa gegaran susulan yang melanda timur Afghanistan berhampiran sempadan Pakistan pada 1 September 2025.
Kementerian melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Pakistan dan terus memantau perkembangan situasi semasa.
Gempa bumi itu dengan magnitud 6.0 turut dirasai di Islamabad, ibu negara Pakistan.
Lebih 1.2 juta orang dilaporkan mengalami gegaran kuat, dengan laporan awal menunjukkan kerosakan ketara berlaku di kawasan pergunungan yang terpencil.
Rakyat Malaysia yang menetap atau mengembara di kawasan terjejas disarankan agar kekal waspada, mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi.
Kementerian Luar Negeri menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi dengan teliti dan akan memberikan maklumat terkini apabila perlu.