GEORGE TOWN, 01 September - Fasiliti rawatan kanser milik Kementerian Kesihatan (KKM) setanding dengan perkhidmatan yang disediakan swasta.
Kemudahan itu dilihat mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit kanser.
Perkara itu dinyatakan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen.
Beliau berkata, rakyat perlu meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkesan.
Khususnya buat pesakit kanser.
"Mungkin dari segi stigma, dikatakan hospital swasta menawarkan perkhidmatan lebih baik. Tetapi sebenarnya hospital kerajaan juga mampu memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik.
"Khasnya di Hospital Pulau Pinang, iaitu hospital pakar yang menjadi rujukan kepada seluruh Wilayah Utara.
"Kita yakin sekiranya ada kes kanser, penyakit itu dapat dikesan dengan lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Shimmering with Gold’ KOMTAR bersempena bulan kesedaran kanser kanak-kanak di KOMTAR, dekat sini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib.
Dalam program tersebut, seramai 35 kanak-kanak pesakit kanser diaraikan.
Sementara itu, Maznah menyifatkan acara tahunan tersebut sebagai lambang solidariti masyarakat bersama-sama kanak-kanak yang menghidap kanser.
"Program di 'Shimmering In Gold' ini kami adakan pada setiap September, sesuai dengan kempen kesedaran bulan kesedaran kanser kanak-kanak pada setiap September.
"Program di KOMTAR diadakan melambangkan perjuangan kanak-kanak melawan kanser," katanya.
Sebagai rekod, sepanjang Januari hingga Ogos 2025, FOCCAN menerima 48 kes kanser baharu, lima pesakit berulang dan empat pesakit menjalani rawatan Transplan.
Selain satu kes bayi berusia sebulan disahkan menghidap kanser neuroblastoma pada Ogos.
Bagi pesakit, Muhammad Irfan Muhammad, kanser membuatkan dirinya kurang bersemangat namun fikiran positif dapat membantu dia menjadi kuat.
Dalam pada itu, bapa kepada pesakit berkenaan Muhammad Rusli Salleh berkata kanser merupakan sakit yang paling menakutkan.
"Tiba-tiba kena pada ahli keluarga kita sendiri. Tiga bulan, empat bulan sekali berlaku kena bawa untuk rawatan lanjutan. Minta nasihat doktor," katanya.