fb fb fb fb fb

WTDC-25 perkukuh peranan Malaysia bentuk hala tuju telekomunikasi global - Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan/Foto Facebook Fahmi

BAKU (Azerbaijan), 20 November - Malaysia menjadikan Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) sebagai landasan penting untuk mengukuhkan peranan negara dalam menetapkan hala tuju pembangunan telekomunikasi global bagi empat tahun akan datang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dalam persidangan empat tahun sekali itu, yang bermula dari 17 hingga 28 Nov, Malaysia akan berkongsi pengalaman sebagai anggota Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan pelaksanaan projek keterhubungan negara terutamanya rangkaian 5G.

"Ini akan meletakkan Malaysia di satu kedudukan yang agak unik dan saya percaya ini peluang keemasan untuk kita tunjukkan kepada dunia bahawa keterhubungan yang bermakna itu bermula dengan dasar yang jelas, pelaksanaan yang rapi, aspek tatakelola, urus tadbir yang jitu dan telus, yang akhirnya mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan juga masyarakat.

"Jadi, saya percaya keterlibatan kita ini memberi satu isyarat yang sangat positif, dan saya lihat ini peluang baik untuk kita di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Fahmi, yang berada di Baku dari 16 hingga 19 Nov bagi mengetuai delegasi Malaysia ke WTDC-25, berkata beliau percaya pasukan negara akan meneruskan perbincangan dengan perkongsian bermakna untuk hala tuju sektor telekomunikasi global hingga persidangan berakhir pada 28 Nov ini.

Sepanjang berada di Baku, Fahmi turut mengadakan 10 mesyuarat dua hala,antaranya dengan Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Iran Sattar Hashemi, Menteri Pos dan Telekomunikasi Algeria Sid Ali Zerrouki, Menteri Pembangunan Digital dan Pengangkutan Azerbaijan Rashad Nabiyev, Menteri Negara bagi Teknologi Maklumat dan Komunikasi & Panduan Kebangsaan Uganda Godfrey Baluku Kabbyanga Kiime serta Menteri Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Pakistan Shaza Fatima Khawaja.

Beliau berkata perbincangan banyak berkisar tentang potensi kerjasama antara Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan negara-negara yang berminat dengan langkah yang dilaksanakan Malaysia dalam menjamin capaian Internet meluas, laju dan murah.

"Ramai yang nak cuba tiru, cuba memahami strategi dan langkah-langkah yang telah Malaysia ambil supaya boleh atau mungkin dilaksanakan di negara mereka.

"Saya juga lihat ada banyak peluang untuk kita perluaskan jaringan terutama untuk MCMC dan Kementerian khususnya di negara-negara seperti Caribbean, Amerika Selatan dan Benua Afrika," katanya.

Beliau turut berpuas hati dengan penyertaan di WTDC-25 yang membuka laluan kepada beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan beberapa negara dalam sektor telekomunikasi.

"Pengalaman saya mengemudi Kementerian Komunikasi menunjukkan pelbagai agensi dan badan-badan kawal selia di peringkat antarabangsa memandang tinggi MCMC dan Kerajaan Malaysia.

"Cuma kita perlu terjemahkan untuk melihat bagaimana mungkin kita boleh eksport idea-idea ini ke negara-negara lain. Jadi, ini satu pencapaian yang agak baik untuk kita," katanya.

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi WTDC-25, Fahmi berkata Malaysia berikrar untuk menyatakan komitmen penuh dalam memajukan mandat global ITU.

Penyertaan beliau dalam WTDC-25 yang bertemakan “Universal, Meaningful, and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future" adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk mempertahankan kerusi ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

Semasa Persidangan Peringkat Tinggi Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat +20 (WSIS+20) di Geneva pada 9 Julai lepas, Fahmi secara rasmi mengumumkan pencalonan Malaysia untuk pemilihan semula ke majlis tersebut sekali gus menekankan peranan aktif negara dalam ITU.

Malaysia kini merupakan ahli Majlis ITU bagi penggal 2023-2026, yang membolehkan negara menyumbang kepada pembentukan dasar strategik ITU serta mewakili kepentingan rantau Asia dalam memajukan telekomunikasi dan infrastruktur digital. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN