fb fb fb fb fb

UPSI lancar lima inisiatif integriti perkukuh tadbir urus universiti

Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 20 November - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan lima inisiatif utama bagi memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus berasaskan ketelusan serta akauntabiliti pentadbiran universiti secara menyeluruh.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed berkata UPSI tampil sebagai institusi yang menegakkan integriti melalui pendekatan pencegahan yang bersifat sistemik, melalui pelancaran Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001:2025 (ABMS), Sistem My Audit Intrack (MyAIT), Sistem Isytihar Harta UPSI (E-Harta), Sistem Pengurusan Bahan Kimia UPSI (ChemAlert) dan Modul Intervensi Antigangguan Seksual UPSI.

"Usaha UPSI ini membuktikan bahawa integriti bukan slogan, tetapi langkah nyata yang dizahirkan melalui pelaksanaan sistem yang telus, berstruktur dan boleh diaudit," katanya pada majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Pengasasan SITC-MPSI-IPSI-UPSI sempena Perhimpunan Bulanan Edisi November 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini pada Rabu.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menjelaskan, lima inisiatif yang dilancarkan merupakan tonggak baharu dalam memastikan setiap urusan universiti dilaksanakan dengan ketelusan menyeluruh.

"Kita mahu UPSI menjadi universiti yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga unggul dari sudut integriti dan tatakelola,"ujarnya.

Mengulas pelaksanaan Sistem ABMS, beliau berkata sistem itu akan menjadi panduan rasmi universiti dalam meminimumkan risiko penyelewengan.

"ABMS merupakan kompas integriti UPSI. Ia memastikan setiap proses, keputusan dan perolehan dibuat secara bersih, berhemah dan berasaskan prinsip amanah.

"Sistem MyAIT pula dilancar bagi meningkatkan kecekapan audit dalaman melalui pemantauan lebih teratur dan berasaskan bukti. Ia membantu mengesan kelemahan dengan lebih cepat," jelas beliau.

Tambahnya, E-Harta membawa dimensi baharu kepada budaya ketelusan sementara Sistem ChemAlert pula bertujuan memastikan pengurusan bahan kimia di makmal mematuhi standard antarabangsa.

Modul Intervensi Antigangguan Seksual UPSI pula bagi memperkukuh keselamatan warga kampus.

"UPSI mahu kampus yang selamat, bermaruah dan bebas gangguan. Modul ini memastikan setiap laporan ditangani secara adil dan profesional," katanya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN